Saturday, March 6, 2010

Coretan Sejenak

0 comments


ENTRY 100306

Salam, pertama sekali ingin mengucapkan selamat hari lahir kepada sahabat baik aku, Nurul Izzati yang kini sedang menuntut di UNIMAS. Walaupun berjauhan tapi ukhuwah tetap di hati. Semoga berjaya di dalam pelajaran dan jangan lupa daku di sini. Hehe..

Keadaan diri tidak berapa sihat, batuk, selesema, sakit kepala, nak muntah, sakit perut semua ada. Sebenarnya kali terakhir aku sakit teruk adalah semester lepas di mana semua orang tengah heboh dengan penyakit selesema babi atau h1n1. Aku juga tidak terkecuali dari menjadi salah seorang pesakit waktu itu.

Kali ini, sakit menjengah sewaktu hampir dengan minggu final exam di mana macam-macam perkara harus diselesaikan. Sabar dan tawakal menjadi pegangan. Walaupun aku sakit tapi semacam ada kemudahan di setiap urusan harian ku...mungkin ada sesuatu....wallahualam...

Sebab itu aku percaya, kadang-kadang balasan baik atau buruk yang Allah berikan tidak semestinya pada masa itu juga . Kadang-kadang dia berikan dalam urusan yang lain. Hanya terpulang pada kita untuk mempercayai atau tidak.

Benarlah kata faci study circle, kak aisyah, sebenarnya setiap apa yang berlaku sebenarnya menguji keyakinan kita pada yang Esa. Allah ingin melihat sejauh mana kita percaya dan yakin denganNya.

Aku juga setuju dengan kata-kata kak aisyah yang orang luar mungkin memandang UIA sebagai sebuah universiti yang biasa, Bagi aku ianya bukan semata-mata nama ISLAM itu sendiri, istimewanya universiti ini adalah kerana ' The gate of garden knowledge and virtue' kerana di sini macam-macam perkara yang boleh dipelajari. Semuanya sebenarnya sudah terbentang luas, hanya yang menjadi persoalan sanggup atau tidak untuk kita mencarinya. Mungkin orang luar tidak akan pernah faham tapi bagi sesetengah pelajar di sini, mereka pasti faham akan maksud aku.

Ilmu itu tidak akan pernah rugi , kitalah yang rugi jika kita tidak berusaha untuk mempelajarinya. Ilmu bukan hanya setakat berusaha untuk mencapai cgpa 4.0. Ilmu sebenarnya lebih dari itu, beruntungnya orang yang dapat mencapai kejayaan di dunia di samping tidak melupakan ilmu akhirat. Ada orang diberikan ilmu dunia tetapi terkapai-kapai dalam mencari bahtera ilmu dunia akhirat. Ada pula diberikan ilmu akhirat tetapi ilmu dunia diabaikan.

Keseimbangan seharusnya dicari untuk keduanya. Bagi aku sendiri, aku masih mencari keduanya. Biarlah apa sekali pun yang menimpa, aku tetap percaya tanpa ilmu akhirat, ilmu dunia tidak membawa makna dan tanpa ilmu dunia sukar untuk mencari ilmu akhirat. Ibarat ilmu dan amal. Mempunyai ilmu tapi tidak mengamalkan adalah sia-sia. Beramal tanpa ilmu ibarat seorang guru sains yang ingin mengajar matematik. Tidak berilmu dan tidak beramal adalah serugi-rugi manusia di dunia dan akhirat. Tetapi jika kita berilmu dan beramal, insyallah...hidup diberkati dunia dan akhirat.

Sukar? Tiada yang senang di dunia ini dan juga tiada yang susah, yang susah adalah memulakan langkah pertama dalam setiap perkara yang ingin dilakukan. Senang adalah apabila kita berjaya menyempurnakan setiap langkah menuju ke garisan penamat. Bayaran? Usaha, sabar, tawakal dan redha.

Saturday, February 20, 2010

Genap 20 tahun

0 comments
ENTRY 100220

Salam, ianya
Alhamdulillah semalam telah genapla umur aku 20tahun, masih belum boleh mengundi tapi meningkatnya umur bermakna setapak lagi kita dalam hidup ini. Tak banyak yang ingin diceritakan kerana aku juga sebenarnya tidak lah terlalu excited kerana bagiku ianya hanya lah hari di mana bertambahnya umurku sebanyak 19+1=20. Tapi aku sangat bersyukur kerana ianya adalah hari di mana aku dilahirkan di muka bumi ini sebagai insan dan juga sebagai khalifah Allah. Ramai orang terlepas pandang, tapi dapatkah kita bayangkan sekiranya kita dilahirkan di muka bumi ini bukan sebagai seorang manusia tetapi sebagai makhluk lain? Wahallualam...

Tak perlu aku panjangkan lagi penulisan kali ini cukuplah sekadar ingin berkongsi sepotong hadis yang menarik.
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sampaikan dariku walau sepotong ayat" riwayat bukhari:3461

Monday, February 15, 2010

Kisah Pemuda Beribu bapakan Babi

0 comments

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu di lap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian di lap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara ! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibu bapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibu bapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibu bapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibu bapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Sunday, February 14, 2010

Tetaplah hati ini

0 comments
ENTRY 100214

Salam,
Akhirnya aku sudah sampai di mahallahku ini. Berbual-bual sebentar bersama rakan sejiranku, Q. Banyak yang dibualkan tapi rata-ratanya berkisar tentang kehidupan seharian kami. Setelah itu aku kembali ke bilik untuk mengemas apa yang patut walaupun baru beberapa hari aku tiada di sini.

Kadang-kala aku terfikir, dalam setiap hidup kita akan ada satu masa dan ketikanya di mana kita dengan sendirinya akan ingin mengubah diri kita. Perubahan ke arah kebaikan atau kejahatan...wallahualam...tapi sebaiknya biarlah ke arah kebaikan.

Bagi aku, setiap apa yang ditimpakan ke atas aku adalah ujian dariNya. Ujian itu berbeza-beza ke atas setiap orang. Mudah pada pandangan orang lain tapi berat bagi kita. Tapi Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita kerana itu kitalah yang sebenarnya harus berubah untuk menyahut cabaran dan menempuhinya dengan penuh kesabaran.

Sebenarnya kita kadang-kadang tak pernah perasan yang sebenarnya penyelesaian atau jawapan kepada persoalan kita itu sebenarnya sangat dekat dengan kita. Hanya kita yang tidak pernah cuba untuk menyedarinya kerana mata hati kita terlalu buta untuk menyedari kerana telah dikaburi dengan persoalan-persoalan yang sering kali menerjah fikiran dan hati nurani ini.

Seringkali juga kita sering ingin menggapai apa yang sebenarnya terlalu jauh tapi mengabaikan apa yang sebenarnya terlalu dekat dengan kita. Alpa dan leka seringkali menghantui. Manusia biasa, lemah dalam memerhatikan dan menganalisa apa yang terjadi. Kerana itu kita memerlukan cahaya petunjuk untuk membimbing kita supaya tidak tersesat dan terus leka diulit alam fantasi.

Semua yang kita lakukan hendaklah demi untuk mendapatkan keredhaanNya. Insyallah jika kita ingin mendapatkan keredhaanNya, Allah akan membantu kita. Tetaplah pada jalan yang benar kerana sesungguhnya inilah jalan yang terbaik untuk ku. Alhamdulillah..aku telah menemui apa yang aku inginkan. Mungkin agak sukar untuk dicapai dan mungkin juga apa yang aku inginkan itu sebenarnya bukanlah apa yang aku inginkan tapi di waktu dan ketika ini, aku yakin itulah sebenar-benar keinginanku.

Tetap dan berpegang teguh pada hati yang benar, Insyallah..

*Entri kali ini lebih bersifat monolog dalaman sebenarnya dan ianya lebih kepada tersurat dan tersirat. Jika ada yang memahami, fahamilah ia kerana maknanya yang tersirat bukan tersurat. Jika ada yang kurang faham, fahamilah ia kerana maknanya yang tersurat bukan yang tersirat. Assalamualaikum....